Monday, August 13, 2007

MALAYSIA DAN KEPENDUDUKAN

Matlamat kependudukan negara adalah sebanyak 70 juta yang mana ianya telah disarankan oleh Y.A.B. bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed ketika beliau berucap di Majlis Perhimpunan Agung UMNO pada bulan September 1982 yang lalu. Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29 haribulan Mac 1984. Matlamat kependudukan ini diharap dapat dicapai dalam tempoh 115 hingga 120.

Walau bagaimanapun, jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan perlu ditingkatkan. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan keluasannya sebanyak 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 45 juta. Negara Thailand pula mempunyai penduduk seramai 50 juta berbanding keluasan negaranya adalah sebanyak 514,000 km persegi dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta. Matlamat kependudukan untuk mencapai 70 juta penduduk penting bagi membantu menyediakan asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri tempatan. Keadaan ini penting bagi menggalakkan persaingan yang sihat dalam pasaran iaitu menggalakkan persaingan di kalangan para pengeluar untuk mengeluarkan produk keluaran yang bermutu tinggi dengan harga yang murah. Persaingan ini juga sebenarnya menyumbang kepada peningkatan mutu dan daya pengeluaran yang tinggi bagi memenuhi permintaan sekaligus menggalakkan aktiviti eksport di antara negara.

Selain itu, pertumbuhan seringkali dianggap sebagai modal yang utama dalam menentukan kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Jadi, adalah wajar angkubah-angkubah demografi seperti umur, saiz penduduk, tahap pendidikan, pekerjaan dan sebagainya perlu diambil kira dalam membuat sesuatu perancangan pembangunan sekaligus dapat memastikan wujudnya keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.
Bagi jangka masa 1981-1985, kadar pertumbuhan kependudukan di Malaysia adalah sebanyak 2.5%. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta pada tahun 1984, iaitu menunjukkan pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta berbanding tahun 1980. Kadar pertumbuhan bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu adalah seperti yang berikut:-

Jangka masa Kadar pertumbuhan (%)
1957-1960 2.8
1960-1970 2.6
1970-1980 2.3
1980-1985 2.5


Perbandingan antara jangka masa di atas menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan sekarang ini adalah lebih tinggi sedikit dari kadar pertumbuhan bagi 1970 - 1980. Ini adalah disebabkan oleh kadar kesuburan yang lebih tinggi dalam tahun 50-an dan 60-an dan bertambahnya jumlah wanita-wanita muda yang mencapai umur perkahwinan. Walaubagaimana pun, berdasarkan kepada arah aliran pertumbuhan penduduk sekarang, dijangkakan bahawa kependudukan Malaysia akan mencapai jumlah kestabilan dalam linkungan 39 juta orang menjelang tahun 2150.

Menurut Laporan Pembangunan Dunia (World Development Report) yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada Julai 1983, penduduk Malaysia dijangka mencapai 33 juta dalam tahun 2120. Unjuran-unjuran ini dibuat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.0% setahun (1980-2000) atas andaian bahawa kadar kesuburan yang berkurangan adalah secara sederhana. Laporan ini juga sebenarnya menjelaskan bahawa penduduk Malaysia akan bertambah menjadi 17 juta pada tahun 1990 dan mencapai jumlah 21 juta pada tahun 2000. Unjuran-unjuran Bank Dunia ini tidaklah selari dengan matlamat penduduk 70 juta sekarang yang dijangka dicapai dalam tahun 2100. Ini bermakna bahawa dua komponen utama mengenai kependudukan iaitu kadar kesuburan dan kadar kasar kelahiran perlu dipertingkatkan dengan sewajarnya.

Perlu dijelaskan bahawa kajian kependudukan memerlukan pengetahuan mengenai arah aliran perkembangan masa lepas dan masa kini. Ketetapan unjuran sangat bergantung kepada kefahaman yang mendalam terhadap fakta-fakta dinamik kependudukan pada pada keseluruhannya, terutama mengenai pola-pola kesuburan,kematian dan kekeluargaan. (Dipetik dan diolah berdasarkan Laporan Ekonomi 1984/85 Kementerian Kewangan Malaysia).

No comments: